Adalah menjadi lumrah, untuk zulumat-zulumat tidak dapat bercampur dengan sebuah cahaya yang terang benderang. Pasti cahaya yang terang benderang jika besar dan jelas akan terus memadamkan zulumat yang membutakan mata.
Manusia lumrahnya tidak suka akan kebutaan, zulumat, dan kegelapan. Mereka adalah fitrah yang memerlukan cahaya justeru untuk melihat, mentafsir dan memberikan analisa. Pun, terkadang ada juga di kalangan manusia yang sedaya upaya mahu memasuki ke dalam lembah kegelapan lantaran sudah buta, mata dan hatinya, iman yang bagaikan cahaya api terpadam begitu saja kerana nafsu yang hidup di tengah zulumat lebih menarik untuk ditelek dan dijilat rata.
"Allah ta'ala akan sentiasa memberi jalan kepada orang mukmin dengan mengeluarkan mereka dari zulumat(kegelapan) kepada sebuah cahaya. Manakala orang-orang kafir penjaga mereka adalah thaghut(syaitan dan kejahatan) yang mengeluarkan mereka dari sebuah cahaya kepada kegelapan-kegelapan, mereka itulah ahli-ahli neraka. Dan mereka akan berada di dalamnya selama-lamanya"(Al-Baqarah:258)
Manusia-manusia yang hatinya sudah terpadam daripada kebenaran dengan senang menyimpang dari jalan lurus. Mereka menjustifikasi setiap perbuatan mereka untuk sebuah penghalalan segala cara. Dan dengan semberono melakukan maksiat kepada Allah.
Syaitan dan nafsu telah membuatkan pandangan mereka kabur dengan hiasan-hiasan dan kebenaran yang telah dipalsukan, mereka sudah tidak dapat membezakan antara hak dan kebatilan, mereka lebih suka mendokong kemaksiatan dan mencebur dalam ketidakjelasan dek kerana khayalan-khayalan rekaan sendiri, dan Dzon-dzon yang direkayasa.
Kegelapan kufur adalah bermacam-macam, akan tetapi cahaya Allah ta'ala dalam bentuk hidayahNya adalah satu. Kegelapan yang bermacam-macam itu semuanya adalah batil kerana kufur kepada Allah ta'ala dihias oleh syaitan dengan segala macam bentuk. Syaitan tidak sedikit pun boleh memadamkan kebenaran tetapi dia dengan senang memesongkan pandangan manusia dari kebenaran kepada zulumat-zulumat yang menipu.
"Dan sesungguhnya ini adalah jalanku yang lurus, ikutlah ia! Dan jangan kalian ikuti jalan-jalan yang bermacam-macam kalian akan berpecah-pecah dengannya daripada jalanku yang lurus. Itulah wasiat dari Allah ta'ala agar kalian bertaqwa"(Al-An'aam:153)
No comments:
Post a Comment