Showing posts with label AGAMA. Show all posts
Showing posts with label AGAMA. Show all posts

Monday, September 6, 2010

Ihsan Ilahi Zahir, Teolog Yang Pemberani



Ihsan Ilahi Zahir sedang memberi ucapan di hadapan Saddam Hussein

Sewaktu membaca karya tokoh ini, 'Baina Al-Syi'ah wa Al-Sunnah'. Saya telusuri biografinya. Apa yang menarik hati ialah beliau wafat sehari sebelum saya dilahirkan. Itulah antara motivasi saya untuk meneruskan pembacaan. Teruja dengan kisahnya, senyap-senyap dalam hati saya berdoa moga-moga saya juga menjadi penegak kebenaran sehingga dapat mati ketika menegakkan kebenaran.

Pemergian tokoh ini adalah sebuah kehilangan besar dalam dunia teologi Islam. Dia sangat ditakuti oleh ramai musuh terutama dari kalangan mereka yang menyimpang dan golongan yang menjadikan hawa nafsu sebagai agama. Bagaimana tidak, semua literasi yang dihasilkan oleh beliau bersifat langka, sangat tajam dan teliti ketika membedah faham-faham menyimpang dari landasan syariat agama.

Saya kali pertama mendengar akan tokoh ini dari seorang rakan. Rakan saya menceritakan.
"Dia dibom mati oleh penganut Syiah di Pakistan!"
Sewaktu mendengar perkataan bom itu, saya jadi terkesan. Pertama terkesan dengan bom, yang kedua terkesan dengan Pakistan, satu negara yang pernah menjadi idaman saya untuk melanjutkan pelajaran. Dan yang ketiga, saya jadi terkesan dengan perkataan Syi'ah. Persoalan demi persoalan menerjang fikiran. Lebih-lebih lagi tentang tokoh ini, kerana setiap tokoh yang wafat dibunuh musuhnya amat memberi pengaruh tersendiri dalam kehidupan saya, yang semangatnya hangat sebagai seorang muda.

Apa yang menyebabkan tokoh ini amat ditakuti sehingga dia diperlakukan sedemikian rupa?

Maka saya pun mengumpulkan literasi-literasi yang berkaitan Ihsan Ilahi Zahir. Tokoh teolog yang berbeda dan penuh karisma. Spesial dan tersendiri. Walaupun dipanggil sebagai Wahabi, Salafi oleh golongan yang memusuhinya. Beliau terus dengan perjuangannya sehinggalah mereka yang tidak dapat berhujah menggunakan kekerasan untuk menutup mulut dan perjuangannya, namun mereka tersilap. Bahkan dengan membunuh seorang Ihsan Ilahi Zahir, meribulah lagi yang akan lahir mengangkat perjuangannya.

Dalam banyak karya-karyanya. Anda akan dapati Ihsan Ilahi Zahir banyak menyentuh sekaligus membedah faham-faham dan sekte yang muncul dalam dunia Islam. Tentang Syi'ah, Tarekat Sufi, Kristian, tentang Barelwiyyah, fasal faham sosialime, komunisme, Bahaisme, Babisme, Qadiyani dan lain-lain. Namun, Syi'ahlah antara faham yang paling banyak disentuh beliau baik di dalam kitab-kitabnya dan dalam diskursus-diskursus yang beliau persembah dan argumentasikan.

Lazim bagi seorang yang keluar dari lulusan Universiti Islam Madinah. Beliau amat terkesan dengan manhaj dari ulama-ulama Najd. Beliau bahkan adalah antara murid kesayangan Abdullah Bin Baz yang merupakan mufti Arab Saudi di zamannya. Dengan manhaj yang dipelajari oleh beliau dari alma-maternya, beliau keluar dengan pakej yang cukup lengkap. Cemerlang dalam ijazah pertamanya dan meneruskan pelajaran dalam peringkat master dalam bidang syari'ah islamiah, Bahasa Arab, Urdu dan Parsi, membolehkan beliau mentelaah sumber dari pelbagai bahasa.

Satu lagi bonus yang ada pada Ihsan Ilahi Zahir, ialah beliau adalah seorang yang bukan saja wara', berilmu, beliau juga adalah seorang pemidato petah yang kuat hujah dan sangat kukuh bahasa. Mungkin bonus inilah yang menarik pengikut-pengikutnya dan juga musuh-musuhnya.

Namun, disebabkan makar dan hasad dengki. Bom jugalah yang menjemputnya dari kalangan mereka yang syahid di jalan dakwah dan kebenaran.


Sunday, August 29, 2010

Semuanya Baik


(Bersabarlah dengan setiap musibah yang menimpa)

Beruntung benar menjadi seorang mukmin, yang beriman dengan taqdir. Taqdir bahkan memberikan sifat optimis dan tidak ada keputus asaan dalam kehidupannya. Begitulah taqdir bekerja, dia memberikan ketenangan dan kegembiraan.

Taqdir juga tidak pernah menafikan usaha. Mereka yang hanya berpada dengan taqdir Allah ta'ala adalah mereka yang tersilap memahami aqidahnya sendiri. Mereka ini semua hal yang terjadi mereka katakan taqdir, mereka miskin; mereka katakan taqdir, mereka gagal; mereka katakan taqdir. Usaha berbentuk doa dan keazaman tidak ada dalam kehidupan mereka. Jadilah mereka seperti manusia yang berfungsi sebagai mayat tiada manfaat dan tiada mudarat. Mereka hakikatnya mayat tetapi masih bernafas dan bergerak-gerak, itu pun jika mereka bergerak!

Ada lagi satu golongan, mereka ini langsung tidak beriman dengan taqdir Allah ta'ala, sehingga apa yang terjadi dalam kehidupan mereka, mereka katakan; aku yang buat aku yang tanggung, aku kaya sebab aku yang mahu jadi kaya. Perkataan Allah ta'ala yang memberi nikmat dan azab tidak pernah ada dalam diari kehidupannya. Seolah-olah mereka yang memiliki badan mereka, mereka yang memiliki kekayaan yang ada pada mereka. Mereka ini lupa mereka sebenarnya adalah hamba. Mereka berlagak menjadi tuan hakiki kepada apa yang empunya mereka.

Begitulah dua bentuk kehidupan makhluk yang bergelar insan.

Dua kecenderungan ekstrim di dalam beriman.

Dua keadaan yang tersesat dalam memahami makna cinta tuhan.

Rasulullah s.a.w, merasa takjub dengan perihal mukmin, merasa takjub akan hal mereka yang semuanya adalah baik dan punyai hikmah.

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير ، وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛ إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له ، وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له
. رواه مسلم
"Pelik dengan hal seorang mukmin itu yang urusannya tidak ada yang tidak baik, tidak ada hal yang sedemikian melainkan kepada hanya orang yang beriman, jika dia dilimpahi kesenangan dan kegembiraan, dia beryukur kepada Allah ta'ala, kerana dia menerima dengan hal itu sebagai yang terbaik baginya, dan jika berlaku hal yang mudarat kepadanya dia bersabar, dia tahu ia adalah yang terbaik untuknya"
(riwayat Muslim)



Tuesday, August 17, 2010

Du’at Yang Fikrahnya Dibonsaikan

Pohon yang dibonsai.
(Apa fikrah anda juga mahu dibonsai?)

Fikrah du’at itu memang jauh ke depan, dia mampu berfikir tinggi melangit idea-ideanya kreatif dan praktikal. Namun malang bila du’at sendiri yang membonsaikan fikrahnya. Sepatutnya fikrah itu rendang dan subur jadi tinggi dan mengeluarkan buah dan hasil ranum dan baik. Tapi bila dibonsaikan jadi kecil tak mahu tumbuh besar lagi.

Membonsaikan fikrah mudah. Anda hanya perlu menerima kejahilan. Biarkan kejahilan menghantui dan ketidakjelasan menyelubungi diri anda. Lagi anda hanya perlu menyogokkan ketakutan dalam jiwa. Takut untuk membaca dan memahami. Takut untuk kritis dan berfikir. Takut untuk menganalisa dan dianalisa. Kejahilan bila diterima dengan sempurna, anda tidak akan jadi bebas. Anda hanya seperti seorang soldadu paksaan. Dikerah dan dipaksa untuk menerima kejahilan dan ketidakjelasan. Jadilah soldadu itu pak turut yang tidak jelas fikrahnya. Memang ada fikrah tetapi tidak jelas, bahkan kadang-kadang menyalahi pula prinsip agama dalam praktisnya!

Lebih parah bila ia berlaku dalam amal Islami. Fikrah atau idea yang tidak jitu akan sentiasa diselubungi paranoia yang membimbangkan. Bila ada saja perkara asing yang bertandang terus dilabelkan sebagai musuh. Bila ada perkara pelik bertamu, terus dilabelkan sebagai sesat. Padahal fikrahnya yang memang bonsai!

Pepatah terkenal.

“Manusia itu selalunya menjadi musuh kepada apa yang dia tidak tahu!”

Nah, memang benar, ianya memang sebuah hakikat. Kerana kejahilan lantaran tidak mahu mempelajari dan memahami orang lain serta-merta dia melabel dengan label-label yang sebenarnya menunjukkan kebodohannya sendiri. Sejarah umat Islam memang sudah lama merakamkan hal-hal dan momen-momen seperti itu. Bahkan sampai ke hari ini, disebabkan fikrah yang jumud dan tidak mampu menghadami ilmu dan isu. Lantas kerja-kerjanya hanya dipondasi dari tiang-tiang rapuh yang hanya diteguhkan dengan fikrah-fikrah yang satahiah(surface) saja sifatnya. Tidak detil kerana takut untuk menyelam lebih dalam, atau mungkin sengaja malas nak menyelam lebih dalam.

Tidaklah kita menyalahkan mereka yang disogok dengan kejahilan dan ketidakjelasan walaupun memang ada bahagian kesalahan mereka. Namun mereka yang menyogok itulah yang memang kita kesalkan. Mereka yang menyogok ini adalah dari kalangan jeneral-jeneral, dan direktor-direktor. Layak seperti seorang Adolf Hitler atau Mussolini, mereka meyakinkan umat mereka dengan ketakutan. Mereka tidak mahu rakyat berfikir lebih. Apa yang mereka tahu fikrah mereka harus dilaksanakan walaupun jelas menyalahi prinsip. Dengan kuasa diktatorisme mereka paksakan juga hal yang menyalahi fitrah manusiawi. Dia memaksakan rasis, dia memaksakan perkauman, dia memaksakan autoritarian, dan dia membunuh mereka yang menyalahi ideanya. Dan kemudian mereka memberi justifikasi-justifikasi dari tokoh-tokoh yang mereka rasakan menyebelahi mereka. Bahkan kadang-kadang hanya dengan hawa nafsu mereka merobek tokoh-tokoh itu. Mereka gunakan nama tetapi menyorokkan hal sebenarnya. Kemudian biarkan simpati merajai pendokong-pendokong idea bonsai mereka.

Jadilah mereka itu berfikrah ‘takut’. Takut menghadapi fikrah berlawanan. Takut menghadapi fikrah yang berbeza. Takut menghadapi faham-faham lain. Kerana mereka memang malas dan ego. Merasa diri paling baik, takbur dan sombong dengan kerja-kerja yang mereka lakukan. Dan mereka cuba mencari perlepasan-perlepasan(tabrirat) diri dari kejahilan dan ketidakjelasan mereka sendiri.

Tuesday, August 10, 2010

Pantun Ramadhan

"
Buah durian di atas peti;
Disantap dengan santan dan pulut;
Bulan Ramadhan sedang menanti;
Tidur mati memang tak patut.

Encik Awang suka motokar;
Motokar baru dibeli satu;
Malam besar malam Al-Qadar;
Carilah, jangan sampai berlalu.

Mencari rusa di rimba di gurun;
Berjumpa hanya dengan si kancil;
Jika sahur tak bangun-bangun;
Berkat pahala hilang di katil.

Di puncak gunung ada helang;
Di kaki gunung ada belalang;
Kalau cinta sudahlah datang;
Ramadhan diraih bila menjelang. "


Bawwabah Ula, 26 Sya'aban.

Selamat menyambut Ramadhan kepada semua ikhwan!!