Showing posts with label SASTERA. Show all posts
Showing posts with label SASTERA. Show all posts

Thursday, January 27, 2011

Rasa tidak enak


Aku pun rasa tidak enak
melihat dilema-dilema orang Cairo
ledakan-ledakan kemarahan
terus bersambungan,

mencari noktah tak jumpa
mencari jalan tak kunjung dirasa

kadang-kadang rasa senak di perut
rasa mual meloyakan di mulut
bagaikan ada bangkai busuk
di segenap kota;

kerusakan iman dan sosial
lantas dicantas oleh hedonisma menggunung
kalaulah ada percuma dosa
pasti akan ada yang menghurung
lantaran hati sudah kosong
sudah hilang pedoman hidayah
dan rasional logika fikrah

syair dan sajak tak lagi berkesan
mungkin saja hanya tunggu revolusi
atau mungkin saja harus ada perang berani!!.

Zahid Naser
Makram 'Abeid.
27/1/2010


Sunday, August 29, 2010

Gamitan


Ada malam-malam mulia
sedang menggamit
jadi rabun sukmaku
menangisi malam-malam sepiku
kerna keletihan kerja
menentang tidur yang menggadai
segala janji setia
aku menggalas amanah
tetapi aku penat berlelah
melimpahlah segala maluku
di depan tuhanku, aku lesu

9.01 pm, Cairo

Saturday, August 14, 2010

Hati Menangis Gembira


Hati rupanya boleh menangis,
gembira menceritakan kisahnya,
penuh rasa,
yang ada kalimat,
punyai azimat dan cita-cita,
penuh korban dan tanggungjawab,
itu kalimat cinta,
tiada dusta penuh aman,
tegap dengan prinsip dan kasih sayang,
kukuh dengan redha,
kuat dengan kesabaran.

Bawabah Ula, dinihari, qubail sahur.. 5 Ramadhan 1431

Tuesday, August 10, 2010

Pantun Ramadhan

"
Buah durian di atas peti;
Disantap dengan santan dan pulut;
Bulan Ramadhan sedang menanti;
Tidur mati memang tak patut.

Encik Awang suka motokar;
Motokar baru dibeli satu;
Malam besar malam Al-Qadar;
Carilah, jangan sampai berlalu.

Mencari rusa di rimba di gurun;
Berjumpa hanya dengan si kancil;
Jika sahur tak bangun-bangun;
Berkat pahala hilang di katil.

Di puncak gunung ada helang;
Di kaki gunung ada belalang;
Kalau cinta sudahlah datang;
Ramadhan diraih bila menjelang. "


Bawwabah Ula, 26 Sya'aban.

Selamat menyambut Ramadhan kepada semua ikhwan!!


Tuesday, January 27, 2009

Sajak Rendra dan Protes Sosialnya


WS Rendra 'Si Burung Merak'

“…..

Aku menyaksikan zaman berjalan kalangkabutan.
Aku melihat waktu melaju melanda masyarakatku.
Aku merindukan wajahmu,
dan aku melihat wajah-wajah berdarah para mahasiswa.
Kampus telah diserbu mobil berlapis baja.
Kata-kata telah dilawan dengan senjata.
Aku muak dengan gaya keamanan semacam ini.
Kenapa keamanan justru menciptakan ketakutan dan ketegangan
Sumber keamanan seharusnya hukum dan akal sehat.
Keamanan yang berdasarkan senjata dan kekuasaan adalah penindasan,

…………………….”

Pejambon, Jakarta, 28 April 1978
Pamphlet Cinta, WS Rendra

Sejak akhir-akhir ini saya gemar sekali membaca sajak-sajak nukilan Rendra, penyajak yang bijak menyatakan perasaannya terhadap bangsa Indonesia lewat sajak cinta. Rakaman-rakaman peristiwa yang dinukil oleh Rendra harus tidak dipandang enteng oleh semua yang cintakan kebebasan dan bahasa kemerdekaan individu.

Pemerintahan yang lemah adalah pemerintahan dibawah ketua yang penakut dan bodoh. Pemerintahan berani adalah pemerintahan yang yang diketuai oleh ketua yang berani dan bijak. Pemerintah bijak mahukan rakyatnya menjadi bijak bukan menjadi bodoh. Jika ada usaha pembodohan berlaku dalam sebuah pemerintahan maka dengan mudah kita dapat menilai kelayakan dan kekuatan sebuah kerajaan. Kerajaan itu adalah kerajaan yang jahil dan mandul.

Keamanan yang selalu disebut Mubarak ialah apabila polis berjaya menangkap sekumpulan pelajar yang melaksanakan demonstrasi aman. Ini diungkap oleh Rendra sebagai sebuah kempen pembodohan terhadap sivil. Sama juga dalam protesnya terhadap rajul amni Indonesia, protes itu diekspresi oleh beliau dengan kata muak. Mungkin Rendra sudah muak dengan pembodohan yang dilakukan Mas Harto.

Kita juga harus jadi seperti Rendra, kita juga mesti muak dengan ‘keamanan’ versi Mubarak, kita juga harus muak dengan gerak-geri rijal amni. Sfera ketakutan yang melanda diri mahasiswa di lembah Nil ini harus dibuang jauh-jauh. Hanya kroni-kroni Mubarak saja yang berpeluk dan menjilat-jilat ‘keamanan’ Mesir. Walhal, umum sudah tahu kezaliman polisi undang-undang darurat Mubarak. Lafaz protes Rendra adalah tazkirah untuk kita. Nasihat seorang biasa kepada orang biasa juga.

Janganlah menjadi kroni. Mencumbui ghairah kezaliman.


Thursday, January 22, 2009

Angin Ketakutan

Angin dingin meratap hiba,
Membawa debu-debu fosforus,
Di celahan sayup derita,
Melambang kusut kehilangan penuh duka.


Soldadu kezaliman,
Menderam kasar,
Merobek merdeka,
Dari ketakutan si cilik dan wanita.


Zahid Naser
Musim Sejuk 2008

Friday, January 16, 2009

Meeting for Gazan



I just watched on Al-Jazeera,
Tomorrow I will read El-Dostor, Ibrahim Isa,
How come Mubarak couldn't attend in?,
Is it us you want to play with?,
Oh, sorry Mubarak with Suzanne you will but us,

Khalid Mish'aal did a tremendous deliverance,
It was amazing and really convincing,
for thou four requests,
from thou we ask.

Shall we get along with the resistance.
Or will the war up to be end?


Zahid Naser
Winter,16 .1. 2009

-------------------

Have You Surfed Al-Jazeera Yet?

Tuesday, January 13, 2009

Ali Laban,'emansipasi kasut' dan Penyair Umayyah Kathir Aswad


Ali Laban(sahib Mabadi') dengan gayanya yang karismatik

Banyak persamaan antara si penyair Kathir bin Aswad dengan si ahli parlimen Ali Laban(anda biasa baca Mabadi’?)..

Kata Kathir dia menulis sajak waktu kasutnya sedang membusuk, dan Laban kata “Kebebasan(baca:emansipasi) yang biasanya dikecap dengan darah, sekarang ini boleh kita kecap dengan kasut.”

Kathir datang ke Mesir sewaktu Azza hidup,dan Laban pula hidup di Mesir di mana Gaza akan boleh menjadi ‘aman’ selepas disembelih.

Laban cakap bahasa Arab, Kathir pun sama. Laban mengajar di Al-Azhar. Dia dah banyak mendidik generasi sepeti Kathir diajar oleh Azza macam mana mahu buat perahan buah.

Kathir biasa letak kasut dekat luar kanvas kediamannya. Adapun ahli parlimen Ali Laban pula letak kasut di luar Maktab Irsyad Ikhwan. Sebab mungkin pak jaga maktab Ikhwan lebih suka jenama Itali kot?

Kasut Ali Laban yang dia mahu baling di dewan Parlimen ialah jenis moccasin. Kod kasut istimewa tersebut ialah ‘emansipasi’. Kasut saiz 45 ini istimewa bukan mudah radar nak kesan. Kalau di Tanta kasut jenis itu boleh kita dapat dengan harga 50-60 genih kalau pandai tawar mungkin 30 boleh dapat. Boleh digunakan di Parlimen, di kampus, ataupun demonstrasi kesatuan pedagang.

Kasut ‘istimewa’ itu juga boleh menyerbakkan bauan yang boleh menyebabkan anjing mati atau sekurang-kurangnya pengsan, bermakna ia boleh dibaling ke SB( baca:Siput Babi ataupun mukhabaraat baltajik). Memang orang-orang Ikhwan telah dilatih untuk berhadapan dengan musuh menggunakan kasut. Hehe mungkin?

Ustaz Mahdi Akef(tak kenal memang sah bukan ikhwan). Kata nak dijual kasut tu di bidding antarabangsa. Sebabnya, jadi isu besar kat dalam Maktab Irsyad Ikhwan. Yalah apa taknya… sorang kata “Boleh ke kita angkat kasut kat sebelah tangan, sebelah lagi angkat mushaf(baca:Al-Quran). Ada setengah kata “boleh aja, selagi hang angkat Quran kat tangan sebelah kanan”. Hahaha…

Kawan saya ada bisik-bisik. Ustaz Mahdi Akef punya kasut buatan Iran, bukan Itali. Hehehe..

---------------- :)

Moral: Biasalah manusia ada silap juga.. emo-emo ni biasalah
Menariknya: Orang-orang Ikhwan dengar sini.. Beradablah.. Makan nasihat dan beri nasihat macam yang Ustazuna Mahdi Akef buat.. Alhamdulillah Allah swt tunjukkan jalan ini untukku. Nikmat besar.


Sunday, January 11, 2009

Gembira

Tawa tulen,
dari hati,
ketawa riang,
bukan lakonan,
tetapi dari jiwa murni,

Harmoni alam,
bila gembiranya insan,
rosak dunia,
bila zalim memeran keinsanan,

Kasih sayang,
pemula gembira,
belas kasihan,
benihnya riang,
bukan sebarang,
harus disiram keimanan,
harus digembur ukhuwwah kemuliaan.

Tuhan bergembira,
dengan kasih sayang hamba,
pergaduhan, permusuhan.
duri dendam,
pembunuh kegembiraan,
pemusnah akhirat dan keduniaan.

Zahid Naser
Musim sejuk 2008

Tuesday, January 6, 2009

Ke Syurga Wahai Rayyan



(Puisi untuk Syeikh Nizar Rayyan: syahid pada 1/1/2009)

Lewat durus El-Wara’
Engkau menanam perjuangan,
Kata-kata hikmat,
Meniupkan ruh di jiwa sukma.

Hentakan-hentakan arahan,
Kami penuhi dengan jiwa ketaatan,
Wahai qaid,
Wahai syeikh,
Kau suntikkan kasih berahi pada syahadah,
Yang berteman malu bidadari berpipi merah,

Seluruh hidupmu,
Hanya perjuangan,

Tiada secebis kecut,

Semangatmu lantang takkan luput,

Kan didengari sepanjang jalanan panjang.

Di tanah suci yang telah dinoda,
Menghilangkan kegembiraan zaman,
Kisahmu akan sentiasa bertandangan,
Di jiwa-jiwa pejuang,
Yang menagih kemenangan,

Selamat dikau wahai syeikh,
Selamat ke alam yang kekal abadi,
Selamat dikau wahai syeikh,
Wahai Rayyan untuk bidadari,
Ke syurgalah engkau wahai qaid yang kami sanjungi.

Zahid Naser
Syitaa' 2008, 2.37 pagi

Friday, January 2, 2009

Di Persimpangan Imtihan

Letihnya mata,
merasuk minda,
membawa lesu,
di jalanan ilmu.

Merakus kopi dulu,
di celah jam-jam yang berlalu,
memang menghimpit cemas kalbu.

Diheret cinta,
melebar usaha,
demi segunung cita.


Zahid Naser,
Kaherah, syitaa' 2008

Monday, December 29, 2008

KOMPUTER RIBA

Kotak nipis,
Berat terisi kertas,
pelepas geram jemari.
pelepas geram otak,
yang berbelit bertemali.

Jangan dihentak,
hilang kerja,
sia-sia,

Ada jutaan ilham lagi,
yang masih tak terhimpun,
merayap jauh ke kota asing,
agar terisi secebis rasa dan sayang,

Maafkanku kotak kecil ribaanku,
sayang kau kotor dihinggap debu,
debu-debu gelandangan,
walaupun begitu,
aku masih sayangkanmu.

Nanti rosak,
adakah lagi pengganti di ribaku.

Zahid Naser
Kaherah, 1.55 pagi

Sunday, November 16, 2008

Puing-Puing Runtuhan


Deklamasi sajak dari hati



persembahan sajak di atas ku tujukan khas untuk saudara di Palestina..
Malam Kesenian Kaherah 2008..



Friday, November 7, 2008

Kisah ‘Ferrari’

Murabbi yang sempurna hanyalah Rasulullah, mutarabbi yang sempurna juga contohnya Rasulullah.

(i)

Mutarabbi suka lari selaju Ferrari,
dia desak murabbi lumba lari
murabbi dan mutarabbi pun lumbalah lari,
mutarabbi lari, laju-laju bagaikan Ferrari,
murabbi tak dapat nak kejar lagi, “biarlah dia sendiri berlari”,
getus hati murabbi tadi, tak larat lagi dilayan laju ‘Ferrari’

(ii)

Tiba-tiba,
‘drappp’ mutarabbi terjatuh,
murabbi yang lambat sedikit hulur tangan,pertolongan mahu diberi,
mutarabbi yang ikhlas dia tak rasa malu nak ditolongi,
baguslah begini,
tetapi mutarabbi yang so-called daie tadi,
tidak ikhlas hati, sombong-sombongan,
angkuh mahu bangun sendiri-sendiri,
tapi, dicuba-cuba tak mampu berdiri,
dicuba lagi, tak boleh lagi,
Oh ,kerana rupanya, kaki tersadung, patah tebu kaki sendiri…
Akhirnya jadi segan, malu sendiri.

(iii)

Jadilah kita murabbi dan mutarabbi yang tahu harga diri,
tahu mana letak duduknya diri sendiri,
selalu lalu dekat rumah tarbiah didiklah diri,
disiplin hati, akur rendah diri, jangan meminta-minta jadi,
orang yang tinggi-tingi, sabar kerana dakwah bukan untuk murabbi,
diri sendiri atau jamaah sendiri, tetapi hanya untuk Allah redhai.

————

Sajak Ikhlas,

reflek untuk akhi Ar-Rumy,

Zahid Naser
11.20
Cairo

Thursday, November 6, 2008

Kusut Masai Fikiran


(i)

Panjatan-panjatan kesyukuran,
diluah hanya dengan langutan kotoran dosa,
pada tuhan,
liuk-lentuk idea,
yang diminnah tak terperi,
moga dihabisi sepenuh hati,
walau tak terhabiskan,
janganlah hendaknya nanti,
tersitalah hati, sirnalah tujuan.

(ii)

Salam jauh sudah kulerai susut masainya,
mencubit rasa didikan cuti yang lama,
menghimpit hiba tak kunjung pergi,
kerana tangan sudah terpatri,
dek kerana pencerahan masih dicari-cari.

(iii)

Hilang sudah saudaraku yang bujang,
kawan-kawan pun berubah, berbilang-bilang,
merentas bangsa, kaum, bahasa dan kultus fikiran...
tidak terjumlah,
moga didikan bumi bertuhan dapat diselesaikan.

Zahid Naser
9.44 malam
Kaherah

Thursday, May 8, 2008

Jangan Kemaruk


Menyayangi Ibnu Kathir tidak menyebabkan saya tidak boleh membaca Iliad oleh Homer, hanya epik jangan sampai kemaruk!!



Ke mana selepas Iliad? Jangan terlalu 'dalam' nanti kemaruk dan ghairah, bila ghairah hati buta, mata tertutup..