Wednesday, December 3, 2008

Kebebasan Di Sisi Rashid Al-Ghannoushi


Mencari karya-karya tokoh ini amat payah di Kaherah. Tokoh buangan yang meneruskan perjalanan dakwahnya di London ini mungkin lebih dihormati di sana dari tanah kelahirannya sendiri, Tunisia. Namun selepas lelah mencari akhirnya saya bertemu dengan buku yang tajukya mungkin agak provokasi, ‘ Muqarَabaat fi ‘Ilmaniah wa Mujtamَa’ Al-Madani’[1]. Buku pertama karangan Rasyid Al-Ghannoushi yang saya baca, selepas diperam selama berbulan-bulan di dalam simpanan.

Membaca pendahuluan dari Dr. Faisal Maulawi, mengagumkan saya dengan sosok penulis. Seorang yang disifatkan inteleknya sebagai moderat dari satu segi dan amat fundamental dari sudut yang lain menjadi teras utama pemikiran beliau, hal ini nampak dengan kemampuan Al-Ghannoushi membezakan antara perkara thawabit(tetap) dengan perkara-perkara mutaghayyiraat(tidak tetap) dan akhirnya menyampaikan sesuatu mesej di dalam tulisannya dengan pendekatan yang amat kontemporari.

Faisal Maulawi menyatakan tidak ramai tokoh yang dapat mengumpulkan kedua-dua dimensi ini di dalam pemikiran-pemikiran mereka. Dan Rasyid Al-Ghannoushi adalah di antaranya. Tambahan lagi beliau bukan sahaja ilmuan dan pemikir Islam tetapi beliau juga seorang mujahid ummah dari segi pertumbuhan kesedaran sosial dan politik di negaranya.

Manakan tidak, Rasyid Al-Ghannoushi beberapa kali dihadapkan dengan hukuman penjara seumur hidup. Dan berakhir dengan hidup di dalam buangan ke negara yang lebih menghargai intelek beliau saya kira. Negara kafir London mengikut istilah sebahagian dari kita.

Di dalam buku ini Rasyid Al-Ghannoushi telah membawakan beberapa analisis terhadap fahaman-fahaman yang ada di dalam falsafah Sekular dan pengamalan Masyarakat Sivil di barat yang telah dimajukan semenjak Zaman Revolusi Eropah dan Revolusi Amerika, yang akhirnya membawa kepada pelbagai istilah dan ideologi. Di dalam setiap analisis, beliau cuba membawakan perbezaan istilah-istilah yang lahir di barat dan apakah approach Islam terhadap istilah-istilah tersebut. Dan akhirnya membuat konklusi pada setiap analisis beliau. Antara analisis beliau ialah tentang kebebasan. Apakah makna kebebasan yang sebenar? Kebebasan apakah yang mencapai maksud hakiki kehidupan? Dan adakah kebebasan bermaksud setiap manusia boleh melakukan semua perkara yang yang diingini, baik ianya bercanggah dengan tatasusila atau tidak? Jika benar, bagaimana kita mengetahui perkara itu baik atau buruk? Itulah antara persoalan yang dijawab oleh Al-Ghannoushi ketika berbicara tentang kebebasan.

**********

Kebebasan

Apakah pemahaman kebebasan yang asas bagi masyarakat barat?

Apakah pemahaman kebebasan asas manusia di dalam Islam?

Dua persoalan telah di lontarkan oleh Ghannoushi, dan beliau membuat kesimpulan pada persoalan yang pertama dengan memetik tokoh-tokoh filsafat Eropah seperti Emmanuel Kant, Spinoza, dan Rousseau bagi menjawab persoalan tersebut. Pada beliau untuk membicarakan kebebasan secara falsafah tidak dapat memberikan satu natijah yang baik bahkan membincangkannya mungkin menemui satu penafian pula ke atas makna hakiki terhadap kebebasan, misalnya Spinoza menganggap kebebasan itu wujud berdasarkan keperluan secara semulajadi yang ditentukan oleh perbuatan semata-mata, berlainan dengan Emmanuel Kant yang menganggap kebebasan sebagai satu perkara yang tidak dapat dibuktikan secara benar oleh diri kita dan secara semulajadi kemanusiaan, dan bagi Ghannoushi, Kant tentang kebebasan sekata dengan Ibn Khaldun.[2]

Sepanjang kemajuan falsafah di barat, usai filosof-filosof bertegang tentang hakikat kebebasan, mereka mula memikirkan kebebasan luar dari sudut metafizik, dengan cenderung untuk melihat kebebasan dari sudut sosial dan masyarakat. Perbincangan-perbincangan kemudiannya terus dengan persoalan-persoalan hubungan individu dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat, ekonomi dan hak-hak rakyat. Dan wacana berkembang sehingga membawa kepada perbahasan demokrasi dan kemahuan rakyat. Natijahnya, kesedaran kebebasan mereka mula menjelma dalam bentuk parti-parti, pertubuhan-pertubuhan, dan syarikat-syarikat. Kesemua ini lebih bersifat sosial dan ekonomik. Dan erti kebebasan pada waktu itu hanya mencakupi hubungan manusia sesama manusia sahaja.

Ghannoushi mempertikaikan makna kebebasan yang difahami oleh filosof-filosof barat dan praktik pemahaman itu di dalam kehidupan mereka, walaupun kata Ghannoushi gambaran kebebasan barat mungkin zahirnya nampak seperti sudah dicapai dengan, lahirnya insan bebas merdeka dengan akal semata-mata, tiada kuasa yang dapat mengekang perilaku moralnya melainkan hanya akalnya bertunjangkan teori “aku dapat berfikir maka aku wujud”. Akal mereka sahajalah yang memberikan hukuman ke atas perilaku masing-masing. Kebebasan versi mereka sunyi dari sentuhan ketuhanan. Selain itu beliau juga mempersoal demokrasi yang dipegang dan di fahami oleh barat, benarkah kebebasan demokrasi barat sudah merealisasikan kebebasan mutlak mereka dari segala segi.?

Dengan memberi contoh imperial yang menjadi dasar negara-negara barat. Beliau memberi persoalan apakah demokrasi itu mengajarkan dasar imperialisme di dalam hukum negara bebasnya. Beliau juga membawakan krisis demokrasi liberal dengan sosialis, kerana mengikut pandangan beliau demokrasi liberal yang mutlak adalah alat baru kapitalis. Walaupun beliau juga menyifatkan solusi sosialis-komunisme juga adalah hanya seperti mengubati penyakit dengan penyakit yang lain.

Itu adalah contoh konflik kebebasan yang dihadapi barat. Namun , kata Ghannoushi, dua ulama seperti Al-Qardhawi dan Abd Salam Yasin ketika membincangkan kebebasan barat dengan konflik-konflik tadi menasihati orang-orang Islam untuk berada di dalam kem pecinta kebebasan daripada memasuki kem penindas zalim. Kaedah ini masyhur sehingga ada satu hikmah disusun, “Sesungguhnya Allah bersama negara kafir yang adil, dan Allah tidak akan menolong negara muslim yang kejam dan zalim.”.

Apakah kedudukan konotasi kebebasan di dalam agama Islam? Secara literal, kebebasan mengikut Islam adalah lawan bagi kata kehambaan. Tidak seperti faham barat, yang mengatakan bebas bermakna kekuatan akal untuk memberi neraca. Akan tetapi kebebasan yang dibawa oleh Islam bersifat tauhidik, kalaulah benar manusia itu pada zatnya punya hak tetap akalnya amat terbatas dari menyingkap prinsip hak-hak itu. Hakikatnya, semulajadi alam ini ialah kesemua kejadian ada penciptanya dan pentadbirnya. Dan manusia telah dipertanggungjawab sebagai khalifah[3] di muka bumi, dimulia dan diamanahkan dengan akal, kemahuan, kebebasan dan apa yang ada di alam ini. Tidak ditinggalkan sendirian, Allah kemudiannya memberi hidayah dengan wahyu kearah jalan-jalan yang terbaik bagi menunaikan amanah-amanah itu demi kebahagian dunia dan akhirat. Kemudiannya mentakmir maya pada ini.

Syeikh[4] Ghannoushi menekankan konsep ‘Ubudiah(kehambaan) sebagai rukun penting di dalam hal-hal bersangkutan hak dan kebebasan, dan sesiapa yang mencintaiNya, dan mentaatiNya maka dia wajib berpegang dengan wahyu ketika berhubungan dengan manusia dan dirinya sendiri. Hanya dengan wahyu Allah dapat mengeluarkan manusia dari hawa nafsu mereka. Ia juga menjadi neraca hak dan batil, baik dan buruk. Tidak seperti kebebasan ‘aqlani[5] yang menjadi pegangan negara hukum barat. Dengan menutup mata ke atas apa yang berlaku di Chehnya, bagaimana kebebasan hak mereka sehingga buta dan sanggup menyatakan itu adalah masalah dalaman Rusia. Dan akibat ‘kebebasan hak’ mereka itu akhirnya million manusia hilang nyawa dan ribuan lagi menderita. Sama juga seperti apa yang terjadi di Palestin. Perjuangan negara yang dikatakan memperjuang hak ‘kebebasan’ masyarakat barat langsung tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya, melainkan hanya menguntungkan pihak yang zalim dan perampas. Seperti awal tadi kebebasan hak yang dicanang dan agenda hegemoni barat tidak boleh menghalalkan cara untuk memonopoli dunia!!

Ketika membicarakan kebebasan dari wacana Islami Ghannoushi membahagikan beberapa item penting yang menjadi asas kebebasan Islam yang disediakan untuk penganutnya secara khusus dan seluruh alam secara amnya. Ini kerana selepas kita mengetahui kebebasan itu adalah sesuatu yang mesti berpandukan wahyu. Maka tidak dapat tidak kebebasan mesti diwacanakan dengan lebih jelas, dan segi paling baik terhadap pemahaman kebebasan dalam Islam adalah dari nilai-nilai akhlak. Hal ini demikian, kerana moral atau akhlak dalam pendekatan Islam adalah perkara asas seperti yang disebut oleh Rasulullah s.a.w di “Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”, [6]dan lainnya seperti “Agama itu adalah akhlak”[7]. Kebebasan di dalam pemahaman akhlaki(moralistik)-islami adalah satu mujahadah dan amanah. Bukan semata-mata dapat menilai mana baik mana buruk sahaja.

Di dalam Al-Quran Allah ta’ala menyebut terlepasnya dari rantaian kejahilan dan kegelapan kejahatan adalah satu kebebasan yang hakiki[8], kerana tidak mungkin kita dapat melepaskan diri dari kejahilan tanpa menjawab seruan Allah ta’ala. Manusia menurut Ghannoushi tidaklah dilahirkan sediakala bebas akan tetapi dijadikan dan dilahirkan untuk menjadi seorang yang bebas, manusia dikurniakan persediaan untuk menjadi bebas seperti mana dikurniakan kesediaan untuk belajar. Hanya dengan ta’allum(proses pembelajaran) dan mujahadah sahaja yang dapat memberikan keilmuan dan kebebasan kepada manusia. Dalam erti kata ringkasnya, kejahilan iaitu sama dengan tidak mengenali Allah menyebabkan manusia tidak bebas, hanya kemampuan manusia untuk mempelajarinya sahaja yang dapat mengetahui tentang Allah sekaligus mendapat makna hakikat sebenar kebebasan melalui wahyu dariNya.

Sewaktu mencerna pemahaman Islam terhadap kebebasan dari segi sosial. Syeikh Al-Ghannoushi telah meletakkan tiga item penting yang mencakupi konsep amanah dan mujahadah tadi.

1.Hurriyet El-Mu’taqad(kebebasan beragama)

2.Hurriyaat El-Siyasah(kebebasan politik)

3.Hurriyaat Al-Ijtima’iyyah(kebebasan sosial)

4.Hurriyaat Ghairil Muslim Fi Daulatil Islamiah(kebebasan non-muslim di dalam negara Islam)

Kesemua item-item inilah yang secara historinya telah diterapkan oleh tamadun Islam sebelum tamadun lain lahir lagi. Amalannya telah lama mendahului laungan gerakan pembebasan wanita, atau gerakan tayyar yang ada di dunia ini. Manakan tidak prinsip-prinsip kebebasan yang dicanai dalam sistem barat mengikut Ghannoushi banyak juga dicedok lewat ketamadunan Andalus di Granada. Tamadun yang berlalu dan tidak akan muncul kembali selepas mati.

************

Kesimpulan

Kata Al-Ghannoushi:

“ Sesungguhnya Islam tidaklah kalah dengan apa yang ada pada sekularisme barat Dari perjuangannya yang mengangkat agenda pembebasan akal, kreativiti dan inovasi, agenda kebebasan demokrasi, bahkan Islam menggalakkan dan memberi maksud yang lebih sempurna dengan tidak menggunakannya bagi menguasai dan membuatkan kerosakan, sebaliknya Islam menggunakan kebebasan sebagai jalan untuk beribadah kepada Allah dan mendekatkan diri kepadanya dengan mendalaminya bagi khidmat kekeluargaan yang bersifat kemanusiaan. Hal ini demikian, demi menjaga kerukunan alam dan menyediakan manusia untuk mendapatkan redha Allah pencipta manusia dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, juga demi bertujuan merealisasikan konsep saling mengenali dan bantu-membantu serta menjayakan konsep keadilan di antara manusia untuk menjawab seruan ilahi[9].

Maka, tidak hairanlah, Syed Qutb boleh menulis sajak terkenal yang bermaksud:

“Saudara, engkau bebas di belakang jeriji besi itu, jika engkau berpegang dengan janjiNya Allah”[10]

Ini, kerana kebebasan yang hakiki ialah dapat memandu hidup berdasarkan wahyu Allah walaupun anda berada di mana-mana pun!!



[1] Terjemahannya: ‘Antara Elok dan Buruk pada Sekularisme dan Masyarakat Sivil’, Dicetak oleh Maghreb Center for Researches and Translation,London, tahun 1999.

[2] Op cit, 10

[3] Lihat surah Al-Baqarah: 30

[4] Di dalam banyak tempat Rasyid Al-Ghannoushi lebih dikenali sebagai Al-Syeikh, gelaran biasa untuk para ulama’

[5] Bersifat aqal

[6] Riwayat Abu Hurairah, dikeluarkan oleh Imam Malik dengan sanad yang marfu’,(lihat: Muwattha’ Imam Malik bi syarhi Muhammad Fuad Abd Baqi, Dar Al-Hadith, Kaherah: 625)

[7] Riwayat Muslim(110/16)

[8] Lihat surah Al-Bayyinah:1

[9] Lihat surah Al-Hujuraat:13, Muqarabaat fi ilmaniah wa mujtama’ almadani, m/s:25.

[10] Majmu’ah Anasyid Al-Islami,hal:124, Darul Wafa’ lil Nasyri wa Tauzi’

-----------------------

Dimuatkan di Majalah Indie: ELUSIDASI terbitan ITQAAN(CIPTMES)


No comments: