Monday, January 5, 2009

Ironi Pakatan Rejim Arab-Zionis, Hamas terus Relevan




Rejim-rejim dan pemerintah despotik arab adalah antara pemerintah yang sangat fobia dengan perkataan ‘revolusi’ dan ‘ancaman’ atau perkataan yang mempunyai maksud serupa. Anda rasa bagaimana mereka yang sangat takut hilang kuasa ini mengekalkan kuasanya? Tahukah anda bagaimana mereka menggunakan segala cara untuk meneruskan survival politik diktator mereka ini? Politik yang menghalalkan cara mungkin adalah jawapannya.

Mengikut salah satu analisis oleh Joseph Massad seorang penganalisis politik Arab di Universiti Columbia, telah membuat satu teori ‘Ironi-Ironi Pakatan’. Teori ini membincangkan bagaimana sebuah negara arab yang mengamalkan pemerintahan diktator-despotik-kejam ala-Zionis boleh bekerjasama dengan entiti yang sinonim dengan sifat-sifat itu. Memang menjadi kebiasaan pemerintahan yang berorientasikan diktatorisme cenderung untuk menggunakan segala cara bagi menjustifikasikan dan merelevankan pemerintahan mereka di dalam sesebuah negara.

27 Tahun Hosni Mubarak

Negara-negara Arab adalah contoh yang prominen dalam hal ini, pemerintahan Hosni Mubarak misalnya, sudah tidak menjadi satu rahsia lagi untuk mengetahui azab-azab yang diterima oleh tahanan-tahanan politik di bawah pemerintahannya di Mesir, malahan lebih dari itu diktator ini akan menggunakan pelbagai cara bagi menjustifikasikan undang-undang darurat bagi membolehkan dinasti pemerintahannya kekal, bukan itu saja, bahkan rakyatnya ditegah untuk keluar membuang undi ketika pilihan raya!. Itu hanyalah beberapa contoh cara pemerintahan yang berlaku di Mesir bagi menunjukkan kediktatoran Hosni Mubarak yang telah memerintah Mesir selama 27 tahun memecahkan rekod Tun Dr Mahathir.

Budaya dinastik yang popular di kalangan Arab juga adalah salah satu faktor utama yang menyebabkan penguasaan politik diktator berleluasa. Dinasti Mubarak-Jamal, dinasti Hafiz-Bashir dan beberapa lagi negara-negara yang bersistemkan mamlakah(baca: negara beraja) adalah rejim-rejim yang terkenal dengan palitan-palitan non-demokrasi dan tidak meraikan hak-hak sivil negara mereka. Adapun foktor lainnya ialah gerakan-gerakan yang bersifat ‘reformis’, ‘revolusi’ dan ‘keagamaan’ menjadi satu ancaman kepada pemerintahan mereka melalui parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Ini tidaklah mencengangkan kita, kerana rejim-rejim arab sedaya upaya melakukan pelbagai cara untuk membenarkan keuntungan negara menjadi milik mereka dan poket-poket kroni yang ada.

Pakatan dengan Zionis

‘Ironi-ironi pakatan’ sebenarnya timbul akibat tekanan-tekanan dalaman yang dihadapi oleh negara-negara Arab lewat faktor-faktor yang telah penulis sebutkan. Pakatan-pakatan yang dimaksudkan di sini ialah pakatan yang dijalankan oleh Israel dengan pemimpin negara arab. Ya, sejarah polisi Jamal Abdel Nasser yang sangat memusuhi Israel telah menunjukkan bagaimana negara-negara Arab menggunakan khidmat-khidmat informasi Intelijen Israel apabila fahaman ‘Nasserisme’ telah mempengaruhi rakyat-rakyat di tanah arab. Ini adalah satu ancaman kepada mereka dan akhirnya mereka menggunakan khidmat tentera Israel untuk berdepan dengan musuh politik yang telah di pengaruhi ‘semangat’ Nasserism seperti yang berlaku kepada PLO(Palestinian liberation Organization). Pada tahun 1970, PLO telah ditentang oleh tentera Jordan dan dibantu oleh Israel, apabila gerakan gerila pembebasan mereka telah mempengaruhi rakyat Jordan. Begitu juga ‘hadiah’ yang berupa informasi penting kepada diktator-diktator Maghribi dan Oman bagi membolehkan mereka membunuh politik musuh yang menentang survival kuasa mereka di dalam negara tersebut. Inilah yang disebutkan ‘pakatan’, pakatan sebuah rejim dengan sebuah entiti Zionis-Israel.

Hamasmisme, Hizbollahisme dan Rejim Arab

Juga sama halnya apa yang berlaku pada hari ini, apabila semangat ‘revolusi’ yang diwakili ‘Hamas’ dan ‘Iran’ cukup kuat menular di kalangan negara-negara Arab. Ini menyebabkan pemerintahan rejim-rejim arab merasakan adanya ancaman politik baru di dalam negara mereka termasuklah pemerintahan Palestin versi Mahmoud Abbas yang diiktiraf oleh Amerika dan juak-juaknya. Fatah hari ini sangat takut dengan kemaraaan pengaruh Hamas yang sangat menebal di dalam hati rakyat Palestin makanya dengan mengikut sifir tadi Fatah juga membuat hubungan rapat dengan Israel. Intifada yang ketiga ini sangat menakutkan gerakan Fatah pimpinan Mahmoud Abbas dan Muhammad Dahlan untuk mengekalkan penguasaan mereka terhadap autonomi yang ada di tanah konflik itu. Hubungan baik mereka ini diterjemah dengan memindahkan ahli-ahli Fatah ke Mesir.

Sudah pastilah, Fatah sangat berminat melihat musuh politiknya Hamas kecundang dan akhirnya mereka akan membina sebuah pemerintahan baru usai pencerobohan terbesar di Gaza baru-baru ini. Ironinya, gerakan pejuang pembebasan Palestin boleh merangka sebuah pakatan politik dengan gerakan Zionis yang sadistik untuk monopoli autonomi di negeri sendiri. Tidakkah akhirnya nanti Fatah akan menjadi sebuah gerakan politik tipikal negara-negara Arab yang pro-Israel, diktator, despotik, dan lemah. Begitulah takutnya sebuah rejim kepada parti yang satu-satunya dipilih secara demokrasi bersih di seluruh tanah Arab!!

Kekuatan Massa Hizbollah

Tidak cukup dengan itu baru-baru ini Menteri Luar Bahrain juga mengeluarkan cadangan untuk Israel masuk ke dalam Liga Arab. Amerika Syarikat sudah tentunya gembira dengan hal ini bagi meneruskan hegemoni mereka lewat Israel ke atas negara-negara teluk. Iran mungkin adalah punca utama bagi membuat pakatan ini yang disokong oleh intelek-intelek neoliberal negara-negara Arab dan pemimpin-pemimpinnya. Kerana semangat Iran yang diwakili Hizbollah juga cukup kuat di kalangan Arab lebih-lebih lagi di Lubnan. Mungkin apabila adanya pakatan wilayah yang salah satu ahlinya Israel akan memudahkan dan melicinkan pergerakan pemimpin-pemimpin rejim ini. Kerana Israel yang diketahui umum mempunyai kekuatan besar dari sudut persenjataan dan ketenteraan. Pada perkiraan mereka, pakatan wilayah itu nanti dapat menyekat kemaraan Iran dan ‘semangatnya’.

Cumanya, secara holistik Hizbollah lebih banyak terpengaruh dengan perkara-perkara dalaman yang sentiasa memainkan sentiman sunni-syi’ah. Dan kes-kes konflik mereka dengan sunni lebih banyak dari praktik mereka terhadap isu Palestin. Apapun, Hizbollah mempunyai populariti di kalangan media massa lewat suara lantang Ahmedinejad yang digelar sebagai Al-Masih Syi’ah dari kultus Imam 12 itu.

Hamas terus Relevan

Dengan berterusannya serangan demi serangan, sekatan demi sekatan yang dilakukan oleh Israel dan rejim-rejim pro-Israel. Hamas akan terus relevan. Pada waktu ini. Hamas yang tetap pendirian telah memenangi publik di Palestin dan juga di seluruh dunia. Sehinggakan laporan akhbar Israel Haaretz baru-baru ini menyatakan penyokong Fatah di Ramallah pun mengharapkan dan berdoa untuk Hamas! Jika tahun ini pilihanraya Palestin berlangsung, Hamas akan mempunyai kekuatan karisma tersendiri untuk memenangi sekali lagi pilihanraya di sana.

Tidak seperti Hamas, gerakan nasionalis Fatah akan terus menjadi tidak relevan dan akan terus kekal begitu. Tindak-tanduk pemimpin Fatah yang mencurigakan dan penuh muslihat, ketamakan, kekejaman, dan dendam akan terus menghantui rakyat Palestin. Mereka takkan lupakan politik bunuh, politik khianat yang diamalkan oleh Fatah secara terang bagaikan cerahnya siang disinar mentari!!

Zahid Naser
Direktor,
ITQAAN-CIPTMES(MESIR)
(Grup Studi Pemikiran Politik Islami dan Isu Timur Tengah)

1 comment:

rossees said...

penjelasan yang sangat teliti...terima kasih.. hmm apa itu hosni mubarak? salaam