Salahuddin membuka Palestin pada umurnya 31 tahun. Rafah tempat biasa raja Kurdi ini keluar masuk sewaktu siri-siri perang salib meletus, lebih-lebih lagi pada siri yang kedua. Sampai sekarang Ma’bar Salahuddin dapat dilihat di Rafah. Saya pernah sampai sana. Tapi kami penakut untuk pergi lebih dekat kerana keselamatan(kadang-kadang kita asyik takut dengan penyangak Mubarak, takkan selamanya kita mahu menjilat orang-orang seperti mereka ini?). Sekarang ini tembok apartheid sudah ‘gah’ dibina. Sekali kacau saja, peluru Israel akan dimuntahkan tepat ke tempurung kepala anda.
Adakah Mubarak akan menjadi Salahuddin? Itulah persoalannya. Jika dinasti Ayyubi dapat membebaskan pemerintahan kejam agenda hegemoni kegerejaan yang bersekongkol dengan mamlakah Raja Richard di Eropah waktu itu. Apakah ‘dinasti’ baru Mubarak boleh mengulang sejarah hebat penakluk ini? ternyata sehingga saat ini rajulah1 Mubarak tidak dapat dipastikan, tapi yang pastinya Mubarak memang ada ‘sense of humor’.
Saya bukanlah seorang yang menolak terus pemerintahan yag berbentuk dinasti atau berbentuk monarki. Kerana sunnah politik berubah seperti mana dunia(baca:alam) sentiasa berubah, politik dunia Islam sentiasa berubah, politik Eropah pun berubah. Bahkan berubah-ubah ini adalah sunnah alam. Kerana alam ini memang sentiasa berubah dan baharu. Seperti tesis yang dipersetujui oleh akal yang sejahtera. Sama juga politik, politik berubah mengikut peredaran alam. Alam politik sewaktu zaman ideal Rasulullah tidak sama dengan zaman politik Khalifah Abu Bakar, sama juga politik yang diamalkan oleh Uthman tidak sama seperti ketua-ketua masyarakat Islam di zaman Umayyah dan Abbasiyah. Wacana politik waktu itu adalah untuk waktu itu. Mungkin sepuluh tahun lagi politik dunia akan berubah. Mungkin pusat kuasa waktu itu di Iran? Atau mungkin akan ada negara Islamik Amerika? Mana tahu. Semuanya mungkin. Sebab itu ada yang mendefinisikan politik itu sebagai ‘Fann El-Mumkinaat’2.
Apa yang pasti ialah subtansi nas dari manqul(baca:wahyu) adalah asas dan prinsip. Politik yang lari dari nas-nas Al-Quran adalah tertolak. Politik Malaysia misalnya, kita ada parlimen, kita ada mahkamah, kita ada kabinet, dan kita ada perlembagaan. Jika politik yang ada unsur-unsur ini digunakan oleh politikus-politikus yang tidak mempedulikan nas di dalam politik mereka. Maka politik mereka boleh dibantah.
Tentang penakluk Kurdi tadi. Mubarak bukan Kurdi, dia Arab Mesir. Mungkin keturunannya ada susur galur Imhotep, atau raja-raja Firaun, dan pastinya dia adalah penutur natif Arab dan Inggerisnya pun boleh tahan, tahun lepas dia pernah diwawancara dengan Charlie Rose3. Banyak juga lawak yang dia cuba luahkan. Saya melihat lawaknya itu dengan jengkel. Apa tidaknya cerita bab serius dia boleh buat main-main pula.
Ma’bar Salahuddin menggambarkan kegembiraan dan pembebasan. Tetapi Ma’bar itu pada zaman Mubarak mewakili kesedihan, kemarahan, dan kebodohan. Sampai ke hari ini Mubarak boleh bercium pipi dengan Barak, boleh lagi memeluk tapak tangan Livni. Kalau Salahuddin sangat garang dengan Balian kerana mempermainkan penduduk Islam di sana. Tetapi Mubarak boleh buta melihat ribuan manusia dijandakan dan diyatimkan oleh entiti Zionis yang diketuai Olmert dan juak-juak pembantainya. Harapan untuk melihat Mubarak menjadi penakluk janganlah anda cuba bayangkan atau impikan. Hatta jangan impikan beliau jadi sekurang-kurangnya seperti Al-Malik Faisal atau Sultan Abd Hamid II. Kerana impian anda itu adalah impian yang secara zatnya sudah salah dan satu perkara yang sia-sia. Mubarak hanya layak menjadi seorang diktator dengan naratif seorang rejim penakut yang dipaksakan.
-------------------
1. Kelekakian
2. Seni kemungkinan-kemungkinan
3.Rancangan Charlie Rose adalah rancangan forum dan wawancara orang-orang prominen. Anda boleh tengok di Youtube. Taip sahaja nama ini.
1.
No comments:
Post a Comment